Tuesday, February 26, 2008

SYARAT-SYARAT MELAKUKAN PEKERJAAN LUAR SEBAGAI GURU TUISYEN

GARIS PANDUAN SERTA SYARAT-SYARAT MELULUSKAN PEKERJAAN LUAR SEBAGAI GURU TUISYEN DAN TENAGA PENGAJAR SAMBILAN
(mengikut Pekeliling Perkhidmatan bil.1 Tahun 2006)


4.1 pemohon hendaklah terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah disahkan dalam jawatan;

4.2 permohonan hendaklah sampai kepada Pihak Berkuasa Meluluskan sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum khidmat tuisyen atau mengajar secara sambilan bermula;

4.3 pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga pengajar sambilan hendaklah tidak melebihi 4 jam seminggu;

4.4 pemohon hendaklah memperoleh markah prestasi tahunan yang tinggi iaitu bersamaan atau melebihi 80% bagi tahun yang sebelumnya;

4.5 pemohon adalah dilarang sama sekali melakukan khidmat tuisyen di dalam syarikat atau pusat tuisyen yang dimiliki oleh mana-mana ahli keluarga termasuk suami / isteri / ibu / bapa / adik beradik / saudara mara yang mana dikhuatiri mempunyai kepentingan peribadi;

4.6 pemohon dilarang sama sekali mengedar atau mempromosi pusat tuisyen / ‘home tuition’ atau seumpama dengannya, dengan sebarang bentuk cara termasuklah melalui risalah atau secara lisan kepada pelajar;

4.7 pemohon yang diluluskan dengan kebenaran hendaklah memberi khidmat tuisyen di pusat-pusat tuisyen yang berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing;

4.8 khidmat mengajar yang diberikan tidak mengganggu tugas rasmi pegawai sebagai guru dan dijalankan di luar waktu pejabat;

4.9 pemohon tidak digalakkan memberi khidmat mengajar di luar stesyen / kawasan tempat beliau bertugas (luar stesyen bermaksud jarak lokasi tempat khidmat tuisyen atau mengajar secara sambilan dengan pejabat tidak lebih daripada 25 km);

4.10 pemohon tidak dibenar menggunakan kemudahan peralatan pejabat untuk tujuan menjalankan aktiviti mengajar secara sambilan;

4.11 tempoh pemohon memegang jawatan sebagai guru tuisyen atau tenaga pengajar sambilan dihadkan satu (1) tahun, tetapi boleh dilanjutkan dengan menggunakan permohonan seperti kali pertama;

4.12 pemohon hendaklah mendapat sokongan Ketua Jabatan masing-masing tertakluk kepada prestasi kerja dan keperluan perkhidmatan. Dalam menimbangkan untuk menyokong atau tidak sesuatu permohonan, Ketua Jabatan hendaklah mengambil perhatian tentang tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;

4.13 kuasa untuk meluluskan permohonan pemohon terletak kepada budi bicara Pihak Berkuasa Meluluskan dan keputusan adalah muktamad;

dan

4.14 Pihak Berkuasa Meluluskan berhak menarik balik kelulusan yang telah diberikan jika didapati pemohon melanggar mana-mana syarat yang telah ditetapkan.

No comments: